Thursday, August 19, 2010

KKE: REFLEKSI INTROSPEKTIF

REFLEKSI INTROSPEKTIF PERKEMBANGAN
TAHAP KOMPETENSI KECERDASAN EMOSI
DIRI SENDIRI DARI ASPEK :

a) Optimis (optimism)
0ptimis bermaksud seseorang individu itu mempunyai kecekalan untuk mencapai matlamat walaupun ada halangan dan masalah.
Saya bersifat optimis. Walaupun kadangkala keadaan kesihatan saya memberi kekangan dan mendatangkan masalah, namun saya tetap cekal dalam merealisasikan matlamat saya.
Saya cekal berusaha mendapatkan rawatan perubatan disamping berdoa dan bertawakal agar saya dapat melunaskan harapan serta matlamat saya untuk berjaya dalam pembelajaran dan kehidupan saya.

b) Penghormatan Kendiri (self-regard)
Penghormatan kendiri adalah keupayaan dan kesedaran untuk memahami, menerima serta menghormati diri sendiri.
Bagi saya, saya kini semakin sedar akan kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Walaupun cepat mengalah dengan keadaan, namun saya tetap
berusaha menguatkan diri untuk bangkit kembali. Saya juga menanamkan prinsip bahawa orang hanya akan menghormati saya apabila saya terlebih dahulu menghormati diri saya sendiri.

c) Pemangkin Perubahan (change catalyst)
Pemangkin perubahan bererti seseorang itu akan memulakan atau mengurus perubahan dalam kumpulannya. 0rang itu akan menjadi model perubahan untuk orang lain dan menyokong perubahan itu agar mendapat sokongan orang lain. Status Quo akan dicabar dan perubahan yang diperlukan akan disahkan. Halangan juga akan turut diatasi menjadi satu perubahan.
Saya pernah menjadi Naib Pengerusi untuk program kebajikan bagi membantu pembelajaran asas 3M kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di tempat saya. Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan berjaya menjadi pemangkin perubahan dimana kami berkerjasama merubah persepsi masyarakat bahawa golongan 0KU juga mempunyai keinginan dan kebolehan untuk belajar meskipun penerimaan mereka agak lambat.

d) Pengurusan Konflik (conflict management)
Pengurusan konflik pula bermaksud individu itu dapat membuat rundingan dan menyelesaikan perselisihan dalam kumpulannya. Rundingan, diplomasi,
perbincangan dan perbahasan diadakan secara berhemat bagi menangani situasi yang tegang dan mewujudkan penyelesaian “menang-menang”. Tindakan yang bijak juga diambil dalam perselisihan tersebut.
Saya dan kumpulan kini mempraktikkan amalan “diam-dengar-cakap” bagi menguruskan konflik dalam kumpulan. Kami mengambil langkah mengalah dan memberi ruang serta berdiplomasi antara rakan kumpulan dalam menyampaikan pendapat masing-masing terlebih dahulu. Kami mendengar dan kemudiannya mencari jalan terbaik agar situasi “menang-menang” dapat diwujudkan dalam rundingan tersebut.

e) Berorientasikan Pencapaian (achievement oriented)
Berorientasikan pencapaian ini bererti desakan untuk membaiki prestasi bagi memenuhi piawai kecemerlangan yang ditetapkan. Dengan motivasi yang tinggi, objektif dan piawaian akan cuba dipenuhi serta berorientasikan hasil. Cara-cara menambahbaikan prestasi juga dipelajari.
Saya sentiasa membuat target yang tinggi dalam setiap peperiksaan yang saya hadapi. Saya menjadikan pengalaman mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan lalu sebagai pendorong disamping galakan keluarga dan teman-teman. Saya berusaha, belajar bersungguh-sungguh, berdoa serta tawakal bagi mencapai target pencapaian seperti yang saya ingini.

f) Membangunkan individu (developing others)
Membangunkan individu bermaksud mengesan bagaimana orang lain dapat berkembang dan memberi galakan kebolehan dan keupayaan mereka. Seseorang yang mempunyai kecekapan ini biasanya memuji dan memberi ganjaran untuk menghargai kekuatan , kejayaan dan perkembangan mereka. Pandangan sempit dan bias juga turut dicabar. Selain itu mereka akan memberi maklum balas yang membina perkembangan mereka. Seterusnya akan memandang kepelbagaian sebagai peluang untuk perkembangan.
Saya sentiasa mendorong sahabat-sahabat untuk memperkembangkan bakat yang mereka miliki. Saya juga memberi komen yang membina agar sahabat saya dapat memperbaiki karyanya dari semasa ke semasa. Tiada lain yang saya inginkan hanyalah untuk melihat sahabat saya berjaya dalam bidang yang diminatinya.

g) Keyakinan diri (self-confidence)
Keyakinan diri didefinisikan sebagai pasti dengan nilai dan kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri disamping mempamerkan kesungguhan untuk mencapai sesuatu.
Tatkala dahulu, saya sering bersikap negatif dan merendah diri. Saya juga berasa takut dan tidak yakin pada kebolehan sendiri. Namun, syukur
Alhamdulillah, menerusi pengalaman yang dialami, memberikan saya keyakinan bahkan mengajar saya untuk mempercayai serta memberi peluang kepada diri sendiri bagi membuktikan kebolehan saya.

h) Inisiatif (inisiative)
Inisiatif bererti sesuatu individu itu mempunyai kesediaan bertindak apabila ada peluang dan bersedia untk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Individu ini juga akan mengejar matlamat yang tinggi daripada yang diperlukan atau dijangkakan disamping mengenepikan birokrasi dan peraturan sekiranya perlu dalam menyelesaikan tugas. Selain itu, orang lain turut dimobilisasikan menerusi usaha-usaha yang berfaedah dan luar biasa.
Saya sentiasa berusaha untuk membuat perubahan terutamanya ketika berhadapan dengan masalah dalam melaksanakan tugasan. Contohnya ketika saya tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk membeli warna-warna yang diperlukan dalam menghasilkan karya. Justeru, saya akan manfaatkan warna-warna yang sedia ada dan mencampurkannya untuk menghasilkan warna yang dikehendaki. Walaupun tidak mengikuti peraturan dan warna yang sebenar, namun ia merupakan satu inisiatif baru dan menggambarkan kreativiti.

No comments:

Post a Comment