Thursday, August 19, 2010

BM DKB : CONTOH KERTAS KERJA AKADEMIK

Halangan Pemikiran Kreatif Dalaman Dan Stail Pemikiran Minda

Guru Pelatih KDPM Semester 3

Oleh :

Chua Yan Piaw

Jabatan Penyelidikan

Maktab Perguruan Ilmu Khas

Kuala Lumpur

ABSTRAK

Tujuan kajian deskriptif ini ialah untuk mengenal pasti: 1) Halangan pemikiran kreatif dalaman, dan 2) Stail pemikiran minda bagi sekumpulan guru pelatih KDPM Semester Tiga dari Maktab Perguruan Ilmu Khas (N=224). Tiga Instrumen digunakan dalam kajian ini. Instrumen-instrumen“The Story-Writing Test” dan “The Two Strings Test” (Dacey, 1989) digunakan untuk mengenal pasti halangan pemikiran kreatif dalaman subjek, manakala Instrumen Yanpiaw Stail Pemikiran Otak (Ybrains) digunakan untuk mengenal pasti stail pemikiran minda subjek. Hasil kajian menunjukkan bahawa majoriti subjek mempunyai stail pemikiran otak kiri yang memusat kepada pemikiran lojik, rasional dan sistematik. Keputusan kajian juga menunjukkan bahawa keupayaan pemikiran kreatif majoriti subjek (87.95%) dihalang secara serius oleh salah satu halangan pemikiran kreatif dalaman, iaitu ketetapan ransangan. Hasil kajian memberi implikasi bahawa pensyarah-pensyarah bagi kumpulan guru pelatih ini seharusnya membimbing mereka untuk melepasi halangan dalaman ini, sebelum berusaha untuk memupuk keupayaan pemikiran kreatif dalam mereka.

PENGENALAN

A) LATAR BELAKANG

Manusia bertindak secara berbeza terhadap situasi-situasi tidak menentu (ambiguous situations), iaitu situasi yang menyebabkan ketegangan pemikiran kepada seseorang individu, dan menyebabkan mereka tidak dapat berfikir secara kreatif. Beberapa orang penulis dan pengaji (Sarnoff & Cole, 1983 dan Torrance, 1984) berpendapat bahawa keupayaan untuk terus berfikir secara terbuka dan bebas semasa berdepan dengan situasi-situasi tidak menentu adalah tanda bagi personaliti pemikiran kreatif.

Halangan pemikiran kreatif boleh dibahagi kepada dua jenis, iaitu halangan pemikiran kreatif luaran dan halangan pemikiran kreatif dalaman. Menurut Dacey (1989), dua jenis halangan pemikiran kreatif dalaman yang menghalang manusia daripada terus berfikir secara bebas dan terbuka semasa berdepan dengan situasi-situasi tidak menentu ini ialah ketetapan ransangan dan ketetapan fungsi.

Dacey (1989) mendefinisi ketetapan ransangan sebagai keadaan di mana seseorang yang berdepan dengan ransangan tertentu akan hanya dapat menumpukan perhatian kepada ransangan tersebut, sehingga tidak dapat membuka mindanya secara kreatif, untuk memikirkan perkara-perkara selain daripada ransangan tersebut. Halangan ketetapan

ransangan inilah yang menyebabkan seseorang itu hilang pemikiran kreatif semasa berdepan dengan situasi-situasi yang tidak menentu. Di samping itu, hasil kajian yang dilakukan oleh Dacey (1989) ke atas sekumpulan pelajar sekolah menengah menunjukkan bahawa hampir 75% daripada pemikiran pelajar-pelajar tersebut kaku dan tidak dapat berfikir secara kreatif kerana faktor ketetapan ransangan. Beliau mengulas bahawa pemikiran pelajar-pelajar tersebut terkongkong dengan ransangan di depan mereka, sehingga tidak dapat memikir maklumat-maklumat lain secara kreatif. Torrance (1984) menyifatkan keadaan ini sebagai “penutupan pra-matang”, iaitu salah satu halangan di mana seseorang itu tidak dapat membuka atau membebaskan pemikirannya, dan memikir lebih daripada rangsangan yang dihadapinya. Ketetapan fungsi pula didefinasi sebagai keadaan di mana seseorang tidak berupaya membuka minda untuk berfikir lebih daripada fungsi objek tertentu. Hasil kajian Dacey (1989) menunjukkan bahawa majoriti subjek kajiannya, iaitu pelajar sekolah menengah kurang kreatif di sebabkan oleh halangan ketetapan fungsi.

Di Malaysia, kajian Chua (2002) menunjukkan bahawa min skor piawai bagi indeks pemikiran kreatif segolongan pelajar sekolah menengah Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan min skor piawai bagi indeks pemikiran kreatif segolongan pelajar Amerika Syarikat yang sama umur.

Di samping itu, beberapa penulis dan pengaji (Norrizan, 2000; Kim dan Michael, 1995) berpendapat bahawa kaedah pengajaran dan kurikulum di sekolah pada masa kini lebih mementingkan kaedah pengajaran, pembelajaran dan penilaian yang “berorientasikan otak kiri”, yang mementingkan proses menghafal, pemikiran konvergen, dan yang berpatuh kepada arahan dan keinginan para guru di sekolah. Torrance & Sato (1979) pula berpendapat bahawa hemisfera kiri dan hemisfera kanan adalah bahagian-bahagian otak yang berfungsi bersama-sama untuk memproses maklumat, dan kedua-duanya diperlukan untuk menyelesaikan masalah secara kreatif. William (1983) mengatakan bahawa manusia mempunyai dua hemisfera otak tetapi sistem pendidikan lazimnya beroperasi seolah-olah kita hanya mempunyai satu otak sahaja, dan ini secara tidak langsung menjadi penghalang kepada pemikiran kreatif.

Sehubungan ini, kajian ini bertujuan untuk meneroka dan mengenalpasti halangan-halangan pemikiran kreatif dalaman dan stail pemikiran minda sekumpulan guru pelatih maktab perguruan.

B) OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini ialah untuk mengenalpasti 1) Halangan pemikiran kreatif dalaman guru-guru pelatih dari segi: a) ketetapan ransangan dan b) ketetapan fungsi., dan 2) Stail pemikiran minda bagi sekumpulan guru pelatih.

METODOLOGI

Kajian ini merupakan kajian deskriptif yang menggunakan data-data kuantitatif dan kualitatif.

A) PERSAMPELAN

Subjek kajian ini terdiri daripada seramai 224 orang guru pelatih semester 3 (ambilan Januari 2002) Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

B) INSTRUMEN KAJIAN

Tiga instrumen digunakan dalam kajian ini.

-Instrumen yang pertama ialah “The Story-Writing Test” (Dacey, 1989). Instrumen ini merupakan ujian kertas-pensil yang mengandungi gambar seekor kucing yang sedang memandang ke arah sebuah segi empat (Lampiran B). Subjek diminta menulis cerita pendek yang menarik dan luar biasa, yang orang lain tidak terpikir. Instrumen ini digunakan untuk mengumpul maklumat tentang halangan pemikiran kreatif dalaman, iaitu ketetapan ransangan.

-Instrumen yang kedua ialah “The Two Strings Test” (Dacey, 1989). Instrumen ini merupakan ujian kertas-pensil yang mengandungi gambar seorang pemuda yang sebelah tangannya memegang tali yang diikat pada siling bilik, dan sebelah tangannya ingin mencapai tali yang jauh darinya (Lampiran C). Subjek kajian diminta untuk membantu pemuda menyelesaikan masalah dengan menggunakan sebuah alat perangkap tikus. Instrumen ini digunakan untuk mengumpul maklumat tentang halangan pemikiran kreatif dalaman, iaitu ketetapan fungsi.

-Instrumen yang ketiga ialah Yanpiaw Stail Pemikiran Otak (YBRAINS, Chua, 2001) yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang stail pemikiran otak subjek. YBRAINS dibina berdasarkan hasil-hasil kajian hemisferisiti otak. Ia merupakan ujian kertas-pensil yang mengandungi 40 item. Setiap item tersebut mempunyai pilihan-pilihan stail pemikiran otak kiri dan otak kanan.

C) PROSEDUR KAJIAN

Subjek kajian menjawab soalan-soalan dalam tiga-tiga instrumen kajian dalam kelas secara individu di bawah pengawasan pensyarah-pensyarah yang mengajar kelas-kelas yang berkenaan. Masa yang diperuntukan untuk setiap instrumen pertama dan instrumen kedua ialah 8 minit, manakala masa yang diperuntukkan untuk instrumen ketiga ialah 30 minit.

D) PENGANALISISAN DATA

Disebabkan kajian ini merupakan kajian deskriptif, data bagi halangan pemikiran kreatif, iaitu ketetapan ransangan dan ketetapan fungsi dijadualkan berdasarkan frekuensi dan peratusan. Data tersebut juga dianalisis secara kualitatif, dimana jawapan-jawapan pelajar dihuraikan berdasarkan kepada definasi ketetapan ransangan dan ketetapan fungsi. Bagi stail pemikiran minda, data (stail otak kiri, otak kanan dan seluruh otak) yang dikumpulkan dijadualkan berdasarkan frekuensi dan peratusan.

DAPATAN KAJIAN

1. Halangan Pemikiran Kreatif Dalaman

Frekuensi dan peratusan bagi halangan pemikiran kreatif dalaman subjek berdasarkan ketetapan ransangan dan ketetapan fungsi ditunjukkan dalam Jadual 1 (Lampiran A).

Hasil kajian menunjukkan bahawa sebanyak 87.95% daripada subjek kajian mengalami halangan pemikiran kreatif dari segi ketetapan ransangan dan 3.13% daripada subjek mempunyai masalah halangan pemikiran kreatif dari segi ketetapan fungsi. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa ketetapan ransangan merupakan halangan pemikiran kreatif dalaman yang dihadapi oleh majoriti subjek kajian. Walau bagaimanapun, hanya sekumpulan kecil sahaja subjek kajian yang mengalami masalah ketetapan fungsi.

-Ketetapan Ransangan

Apabila cerita-cerita pendek subjek dinalisis secara kuantitatif, didapati bahawa kebanyak subjek hanya dapat menulis cerita yang berpusatkan garis segiempat dalam gambar tersebut. Contoh-contoh cerita pendek yang mewakili kumpulan subjek ini ialah:

“Di dalam kotak itu terdapat makanan. Seekor kucing terbau ikan goreng tersebut dan cuba mendekati kotak tersebut. Tapi malangnya kucing itu tidak dapat buka kotak itu…” (subjek 22)

“Kucing berlari dengan pantas. Matanya melihat ke arah sekeliling. Ada sebuah kotak terletak di depannya. Kucing membuka kotak dan seekor tikus sedang tidur di dalam kotak itu…” (subjek 25)

“Suatu hari kucing ternampak satu lubang di dinding rumah tuannya. Kucing ingin melihat apa yang ada di dalamnya. Lalu kucing itu memerhati di depan lubang itu sambil menunggu, tiba-tiba seekor tikus melompat keluar…” (subjek 8)

“Seekor kucing ingin mencari kawannya yang telah lama hilang. Ketika ia berjalan-jalan mencari kawannya yang hilang itu, ia ternampak sebuah kotak yang sangat besar. Ia cuba membukanya tetapi tidak boleh kerana kotak itu terlalu berat…” (subjek 117)

Data kajian jelas menunjukkan bahawa keupayaan subjek-subjek di atas untuk berfikir secara terbuka dan bebas semasa berdepan dengan situasi-situasi tidak menentu adalah rendah. Kelemahan ini (pemikiran terkongkong dengan segiempat dalam gambar yang mewakili situasi tidak menentu) adalah halangan mereka untuk berfikir secara kreatif sebelum berupaya menghasilkan idea yang unik.

Contoh-contoh cerita pendek yang ditulis oleh kumpulan subjek kedua, yang bebas daripada ketetapan ransangan adalah seperti berikut:

“Pada satu malam yang sunyi. Saya merasa letih dan tertidur di atas katil. Saya membuat satu mimpi yang aneh. Di dalam mimpi saya, seekor kucing yang badannya berbulu kuning sedang kelaparan. Ia mencari makanan di sekeliling rumah tuannya dan

akhirnya berjumpa dengan seekor ikan di atas meja. Semasa kucing itu ingin memakan ikan itu, ia nampak seekor kucing lain yang lapar dan sakit. Ia teringat ibunya yang baik hati dan sering menolong kucing-kucing lain yang memerlukan bantuan…” (subjek 34)

“Kamal ialah seorang pelukis. Pada satu hari, kamal melukis sebuah gambar yang cantik (gambar seekor kucing seperti dalam gambar di atas). Kamal mewarnanya dengan warna yang cantik. Dia ingin menjual lukisan ini kepada tuan punya sebuah restoran, tetapi tuan punya restoran tidak mahu membeli lukisan itu kerana tidak faham apa maksud lukisan itu. Kamal menjelaskan bahawa lukisan itu akan membawa tuah kepada tuan punya restoran kerana kucing dalam gambar itu mewakili pelanggan yang sangat berminat dengan makanan restorannya, dan jika lukisan itu digantung pada dinding restoran, peniagaan restoran akan bertambah baik…” (subjek 77)

Perbezaan kedua-dua jenis contoh cerita di atas ialah cerita kumpulan pertama mengarang cerita seolah-olah terdapat arahan bahawa cerita tersebut harus berpusat kepada garis segiempat dalam gambar tersebut. Di bawah keadaan begini, pemikiran mereka adalah terkongkong dan tidak dapat menghasilkan cerita yang luar biasa dan unik. Pemikiran mereka terhalang dan tidak dapat berkembang secara kreatif. Walau bagaimanapun, cerita kumpulan yang kedua tidak terkongkong dengan garis segi empat dalam gambar, tetapi menggunakan seluruh gambar atau unsur-unsur dalam gambar sebagai tanda asas untuk dikembangkan menjadi cerita baru yang lebih bebas dan unik. Pemikiran mereka tidak terhalang dengan ketetapan ransangan.

-Ketetapan Fungsi

Data kajian dalam Jadual 1 (Lampiran A) jelas menunjukkan bahawa hanya sebilangan kecil (3.13%) daripada guru-guru pelatih tidak dapat menyelesaikan masalah (berdepan dengan situasi tidak tetap) secara kreatif, kerana mereka tidak dapat membayangkan bagaimana perangkap tikus digunakan untuk fungsi lain selain daripada fungsinya yang asalnya. Guru-guru pelatih ini mencadangkan supaya perangkap tikus digunakan untuk menangkap tikus dan menggunakan tikus untuk membantu pemuda mencapai kedua-dua tali tersebut.

Walau bagaimanapun, kebanyakan subjek dapat berfikir secara lojik dan rasional, dengan menggunakan konsep tarikan graviti (berat perangkap), menghayung perangkap yang diikat dengan tali B untuk mencapai tali A.

2. Stail Pemikiran Minda

Taburan frekuensi dan peratusan stail pemikiran minda pelajar-pelajar dipamerkan dalam Jadual 2 (Lampiran A). Didapati bahawa kebanyakan pelajar cenderung menggunakan otak kiri untuk berfikir (otak kiri 63.4%; otak kanan 30.8%; dan seluruh otak 5.8%).

PERBINCANGAN

Hasil kajian menunjukkan bahawa kebanyakan (87.95%) guru-guru pelatih mangalami masalah ketetapan rangsangan. Mereka tidak berupaya menentang kecenderungan untuk menumpukan perhatian kepada ransangan sahaja apabila berhadapan dengan keadaan-

keadaan tidak menentu. Keadaan ini merupakan halangan kepada pemikiran kreatif dalaman yang menyekat pemikiran mereka daripada berfungsi secara kreatif.

Hasil kajian ini selaras dengan dapatan kajian Dacey (1989), yang mendapati bahawa 75% daripada subjek kajiannya menghadapi masalah ketetapan ransangan. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh sistem pendidikan di sekolah yang secara langsung atau tidak langsung menekankan pemikiran yang berorientasikan “sistematik, lojik, dan berstruktur”. Pelajar-pelajar diajar supaya mengikut arahan selangkah demi selangkah dan berfikir secara lojik sejak mereka masuk ke sekolah (Hart, 1983). Penekanan ini secara tidak langsung akan melatih mereka untuk memusat dan melihat setiap ransangan dari satu perspektif sahaja. Penekanan sebegini hanya meningkatkan keupayaan lojik pelajar, tetapi sebaliknya melenyapkan pemikiran kreatif mereka.

Dapatan kajian ini seterusnya disokong oleh data kajian tentang ketetapan fungsi, di mana kebanyakan guru pelatih dapat berfikir secara lojik, dengan menggunakan konsep-konsep sains, iaitu tarikan graviti (berat perangkap tikus) dan ayunan tali dan pemberat untuk menyelesaikan masalah dalam ujian dua tali. Mereka dapat melihat fungsi perangkap tikus sebagai pemberat, tetapi bukan fungsi-fungsi lain yang luar biasa. Dapatan kajian ini juga disokong oleh data dalam jadual 2, yang menunjukkan bahawa kebanyakkan guru pelatih ini cenderung menggunakan otak kiri yang memusatkan kepada pemikiran lojik, rasional dan sistematik untuk berfikir.

Walau bagaimanapun, hasil kajian tentang ketetapan fungsi ini tidak selaras dengan dapatan kajian Dacey (1989). Ketidakselarasan kedua-dua kajian ini mungkin dapat menjelaskan hasil kajian Chua (2002), yang menunjukkan bahawa min skor piawai indeks pemikiran kreatif pelajar Malaysia lebih rendah berbanding dengan min skor piawai indeks pemikiran kreatif pelajar Amerika Syarikat yang sama umur.

A) IMPLIKASI DAN CADANGAN

Hasil kajian ini memberi implikasi bahawa guru-guru pelatih dalam kajian ini menghadapi masalah ketetapan ransangan semasa berdepan dengan situasi-situasi yang tidak menentu. Untuk membebaskan guru-guru pelatih daripada halangan pemikiran kreatif ini, adalah dicadangkan supaya para pensyarah menyedarkan guru-guru pelatih tentang halangan pemikiran kreatif dalaman mereka, dan menjelaskan keadaan semula jadi proses pemikiran kreatif, di samping menyediakan persekitaran yang membenarkan pemikiran kreatif kepada mereka. Ini dapat membantu mereka menyingkirkan halangan pemikiran dalaman mereka, iaitu ketetapan ransangan, sebelum keupayaan pemikiran kreatif mereka diperkembangkan.

RUJUKAN

Chua, Y. P. 2002. Corak pembelajaran dan pemikiran, keupayaan kreatif pelajar, dan cara penilaian guru Pendidikan seni ke atas hasil kerja pelajar. Kertas kerja dibentang di Seminar Kebangsaan Profesion Perguruan JPPG 2002, Alor Setar, Kedah.

Dacey, J. S. 1989. Fundamentals of creative thinking. New York: Lexington Books.

Hart, L. A. 1983. Human brain and human learning. New York: Longman.

Kim, J. and Michael, W. B. 1995. The relationship of creativity measures to school achievement and to preferred learning and thinking style in a sample of Korean high school students. Educational and Psychological Measurement 55 (1), 60-74.

Norrizan, R. 2000. More than passing exams. The Sun. April 22, 2000, p16.

Sarnoff & Cole, 1983. Creative and personal growth. Journal of Creative behaviour. 1983, 17(2), 95-102

Torrance, E. P. 1984. TTCT streamlined (revised) manual including norm and direction for administrating and scoring Figural A and B. Lexington, Mass: Personal Press/Ginn and company

Torrance, E. P. and Sato, S. 1979. Difference in Japanese and United States styles of thinking. Creative Child and Adult Quarterly, 4, 145-151.

Williams, L. V. 1983. A Guide to Right/Left Brain Education: Teaching for the Two Sides Mind. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.

No comments:

Post a Comment