“Katakanlah (wahai Muhammad) jika lautan itu tinta untuk tulisan kalimah Tuhanku, nescaya keringlah lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku ditulis, walaupun dibekalkan lagi seumpamanya.” - (Al-Kahf: 109).
Tuesday, August 3, 2010
BM KONTEKSTUAL : CONTOH TEKS PIDATO
“ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ”
Putera kepada tokoh terbilang,
Lahir di Lipis, membesar di Pekan,
1 Malaysia formula dicanang,
Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Setelah saya memperdengarkan pantun tersebut saya pasti, sudah ramai yang mengetahui wajah tampan yang terselindung disebaliknya. Beliau adalah Perdana Menteri kita yang Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang, beliau kemudiannya tumbuh dan membesar di Pekan , Pahang. Pengalaman menyaksikan perjuangan serta aliran politik negara ketika pemerintahan ayahanda tercinta, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, menjadikan beliau berinspirasi untuk berbakti kepada masyarakat juga negara.
Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pensyarah Bahasa Melayu Kontekstual, Encik Dzulkarnain Bin Mat, Yang berusaha Ketua UnitProgram Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (2) Semester 3, serta para hadirin yang saya hormati. Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pada pagi yang mulia ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato yang cukup bermakna dan penuh perisian. Insya-Allah. Tajuk pidato yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah “ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ”. Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut tentang tajuk ini, rasanya elok benarlah saya merungkai mutiara makna atau definisi tentang apa yang diertikan dengan konsep 1 Malaysia yang sebenarnya.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
Menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, konsep 1 Malaysia adalah merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia atau One People. Tindakan-tindakan yang kita ambil perulah berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam Negara kita. Meskipun begitu, dasar afirmatif yakni dasar untuk menolong kaum Bumiputera tidaklah diketepikan namun sebaliknya dilaksanakan dengan cara adil dan saksama. Pertimbangan yang diberi kepada golongan Bumiputera yang layak wajar mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita akan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.
Konsep 1 Malaysia menuntut pemimpin dan setiap warganegara untuk memainkan peranan masing-masing disamping melibatkan nilai tambah dan pembaharuan. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinanyang bijak menafsir dan memahami tugasan yang diberi serta dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, bercakap benar, telus, ikhlas, amanah dan berkebolehan amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia turut menjadi pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.
Hadirin yang dimuliakan,
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Konsep 1 Malaysia berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia kerana di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep ini juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. 1 Malaysia tidak hanyaterbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia seperti yang dibawa oleh Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza.
Sebenarnya konsep 1 Malaysia tetap berkait dengan dasar-dasar kerajaan yang terdahulu. 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu dan bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan iaitu usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara. Usaha ini sudah lama dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kemudiannya, usaha ini disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Meskipun setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan juga negara.
Saudara dan saudari,
‘1 Malaysia’ akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Konsep yang bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Untuk menjayakan konsep ini, semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’ juga perlu diamalkan. Nilai-nilai murni ini dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Nilai-nilai tersebut adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan serta integriti.
Hadirin yang budiman sekalian,
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja pula memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Disamping itu, rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri iatitu dikenali sebagai Tawaduk’.
Konsep penerimaan dan toleransi pula adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran. Prinsip kesetiaan turut amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
Hadirin hadirat yang dirahmati,
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Pendidikan dan pengetahuan pula adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Juga adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
Peranan yang dijayakan rakyat akan mendapat manfaat dari komitmen kerajaan mlelalui tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari konsep 1 Malaysia. Hal ini bermaksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangan nya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.
Hadirin yang sy hormati,
Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Tidak dapatlah saya berpidato dan mengulas dengan lebih panjang lebar lagi. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta haridin hadirat sekalian agar yakin dengan konsep yang dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa konsep “1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pncapaian diutamakan” adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin keharmonian dan pembangunan Malaysia yang mapan sekiranya kita semua, yakni rakyat Malaysia memberikan kerjasama juga komitmen padu.
kak Zihan..<3
ReplyDeleteAssalamualaikum Saudari ZihanTheSensei, saya memohon untuk menjadikan teks ini sebagai rujukan. Terima Kasih.
ReplyDelete