HUBUNGAN SYAHADAH DENGAN ISLAM
Ia seperti hubungan antara roh dan jasad. Syahadah yang diucapkan tidak akan memberi apa-apa erti kepada tuannya kecuali ia tahu apa yang diucapkan.
Ucapan itu, hendaklah dilafazkan dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh, tidak main-main. Mana-mana ucapan yang tidak bersungguh-sungguh dan tidak tahu maksud yang diucapkan itu dan ditambah pula dengan rasa yang tidak yakin, syahadah seperti itu tidak bererti bahkan orang seperti itu dikatakan pembohong dan pengkhianat.
Ia samalah seperti seorang saksi di mahkamah. Seorang saksi berhak menerangkan sesuatu jika ia betul-betul lihat dan tahu, kemudian penyaksian itu hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh, barulah ia dikatakan benar. Begitulah sebaliknya.
KESEMPURNAAN SYAHADAH
Syahadah hanya akan sempurna apabila memenuhi syarat-syarat seperti berikut :
1. MENGAKU DENGAN LIDAH : Dengan erti sesorang itu mengaku dan mengucap dengan lidahnya bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhNya.
2. KEPERCAYAAN DI DALAM HATI : Iaitu hatinya percaya dengan bersungguh-sungguh bahawa apa yang diucapkan oleh lidah adalah betul dan benar.
3. MELAKUKAN TUNTUTANNYA DENGAN ANGGOTA : Setelah kedua-dua hati dan lidah sebulat kata, maka anggota dengan rela melakukan kehendak tuntutan dari ucapan syahadah itu.
SYAHADAH DAN TUNTUTANNYA
Apabila seseorang telah bersyahadah dengan kalimah syahadah, ia dianggap Islam, tetapi Islamnya tidak akan sempurna kecuali setelah menuaikan tunutan tauhid atau syahadah itu sendiri. Tuntutannya meliputi seluruh tuntutan Allah SWT dan Rasul SAW di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Secara ringkas tuntutan tersebut seperti berikut :
- BERIMAN DENGAN PERKARA GHAIB
Perkara ghaib yang dimaksudkan itu beriman dengan rukun iman yang enam ; BERIMAN DENGAN ALLAH SWT, MALAIKAT, KITAB-KITAB, RASUL-RASUL, HARI AKHIRAT DAN QADHA’ QADAR.
- MENUNAIKAN RUKUN ISLAM
Tauhid juga menuntut orang yang melafazkannya supaya menunaikan segala ibadat yang diwajibkan dengan sempurna dan betul mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW, tidak memadai dilakukan ketika senang atau seketika sahaja.
Sesiapa yang tidak menunaikan ibadat solat, puasa, zakat dan haji sedangkan ia cukup syarat wajibnya, ia tidak boleh dianggap Muslim kerana Islam tidak memadai dengan hanya mengucap sahaja, tetapi mesti disertakan dengan amalan anggota sebagaimana yang tersebut di atas.
- AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR
Syahadah yang diucapkan memaksa tuannya melakukan amar ma’ruf nahi mungkar yang merupakan sebesar-besar kewajipan agama setelah seseorang itu beriman kepada Allah SWT.
FirmanNya :
كنتم خير امة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله .......
Maksudnya : “ Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, menyuruh mengerjakan yang benar (baik) dan melarang ynag jahat, serta beriman kepada Allah”.
(Ali Imran : 110)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Sesiapa yang melihat kemungkaran dilakukan, maka hendaklah diubah dengan tangan, jika tidak berkuasa hendaklah diubah dengan lidah, jika tidak berkuasa juga hendaklah dilawan dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman”.
Difahamkan dari hadis ini, sesiapa yang tidak melawan satu-satu kemungkaran sedangkan dia berkuasa, dia bukanlah orang Mukmin. Lebih-lebih lagi kalau sesorang itu memberi sokongan dan redha dengan kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya. Kerana orang yang melawan dengan hati adalah orang yang palinga lemah imannya. Jika redha, tidak melawan langsung atau memberi sokongan bererti imannya tidak ada. Orang seperti ini telah diistilahkan oleh Rasululah SAW sebagai syaitan bisu.
- MENGHUKUM DENGAN HUKUM ALLAH DAN MENDIRIKAN KERAJAAN ISLAM
Allah SWT telah memerintahkan kaum Muslimin supaya melaksanakan hukum Islam dan undang-undangnya. Di dalam Al-Quran banyak hukum yang telah diterangkan oleh Allah untuk dilaksanakan di dalam kehidupan seharian.
Allah SWT telah memberikan amaranNya kepada mereka yang tidak mahu menghukum apa yang telah diturunkanNya dengan firmanNya :
ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكفرون .......الظابمون .......الفاسقون
Maksudnya : “ Barangsiapa yang tidak maenghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir…….zalim…….fasik”.
Mereka yang tidak menghukum enggan apa yang diturunkan oleh Allah bererti mereka menolak Tauhid Uluhiyyah kepada Allah SWT dan juga mereka telah menolak ikrar dan pengakuan mereka terhadap syahadahnya melalui amalan mereka (amalan tidak menghukum dengan hukum Allah). Tuntutan melaksanakan hukum Allah ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerajaan Islam. Sebab itulah mengikut pandangan Said Hawa dalam Kitabnya “Tentera Allah” bahawa mendirikan kerajaan Islam sekarang adalah fardu ain bukan lagi fardu kifayah.
- MENGADAKAN MASYARAKAT ISLAM
Masyarakat Islam adalah masyarakat yang melaksanakan Islam dalam segenap lapangan, baik dalam lapangan aqidah, syariat (undang-undang), peraturan dan akhlak.
Masyarakat Islam tidak lahir kecuali lahirnya sekumpulan manusia yang menyembah Allah SWT dengan sempurna dan tidak menyembah yang lainnya serta tidak mematuhi undang-undang selain dari undang-undang Allah. Kemudian cara hidupnya berlandaskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis dan tidak mengikuti peraturan-peraturan ciptaan manusia.
No comments:
Post a Comment