Iman, Islam Dan Dua Kalimah Syahadah
Iman dan Islam itu adalah tersimpul juga didalam Dua Kalimah Syahadah dan sesungguhnya semua amalan iman dan Islam itu adalah untuk mentahqiqkan Dua Kalimah Syahadah di dalam hati seseorang Muslim dan menjadi permulaan dan penyudahnya. Sebagai pernyataan Islam dan iman seseorang itu ialah dengan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah
Sabda Rasulullah SAW kepada Mu’az bin Jabal yang menjadi utusan Rasulullah SAW ke Yaman yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu akan didatangi dari kalangn Ahli Kitab, maka ajaklah mereka kepada pengakuan bahawa, ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan aku Rasulullah”, Kalau mereka patuh, beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka Lima Sembahyang pada tiap-tiap hari dan malam. Kalau mereka patuh, beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan zakatharta yang diambil daripada orang-orang yang kaya dan dikembalikan kepada orang-orang yang berhajat kepada harta itu. Maka kalau mereka patuh, jauhilah daripada menceroboh harta benda mereka dan takutlah kamu akan Doa’ orang yang terkena zalim. Sesungguhnya tidak ada hijab diantaranya dengan Allah SWT. (Riwayat Iman Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
Manakala Abu Talib hampir mati, datang kepadanya Rasulullah SAW. Tiba-tiba didapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyyah berada di sisi Abu Talib.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Wahai bapa saudaraku, katakanlah bahawa Tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah. Iaitu kalimah yang membolehkan aku menjadi saksi untukmu di sisi Allah.’
Maka berkata pula Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyyah: ‘Wahai Abu Talib, adakah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib?’
Rasulullah Saw terus mengemukakan Syahadah kepadanya. Dan kedua-dua orang itu mengulangi juga cakapnya. Sehingga akhirnya Abu Talib mengaku tetap berpegang dengan agama Abdul Muttalib dan dia tidak mahu berkata. (Riwayat Iman Bukhari dan Muslim)
Memadai juga untuk menyatakan Islam itu dengan kenyataan yang membawa maksud Dua Kalimah Syahadah. Ini adalah berdasarkan kepada Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari dari Abdullah bin Umar yang bermaksud:
Rasulullah Saw telah menghantar pasukan tentera yang dipimpin oleh Khalid bin Al Walid kepada Bani Juzaimah. Lalu mereka diajak kepada Islam. Mereka tidak dapat berkata dengan baik, ‘Kami masuk Islam’, tetapi mereka berkata, ‘Kami meninggalkan agama (yang dahulu)’. Lalu Khalid membunuh dan menawan di kalangan mereka dan diserahkan tawanan itu kepada setiap orang. Lalu saya berkata, ‘Demi Allah saya tidak membunuh tawanan yang ada pada saya, begitu juga kawan-kawan saya tidak membunuh tawanan masing-masing.’ Sehingga kami tiba bertemu dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba Rasulullah menadah tangan dan bersabda, ‘Wahai Tuhanku, aku berlepas diri daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (diulangi dua kali). (Riwayat Imam Bukhari)
Berlafaz dengan Dua Kalimah Syahadah ataupun maksudnya mestilah dengan tasdiq yang sempurna dan iqtiqad yang Jazam.
Firman Allah SWT.Maksudnya:
Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah. (Muhammad: 19)
Firman Allah SWT,Maksudnya.
Apabila orang-orang munafiq itu datang kepadamu, mereka akan berkata: ‘Kami mengakui bahawasanya kamu Rasulullah SAW.’ Padahal Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya dan Allah menyaksikan bahawa orang-orang munafiq itu orang-orang yang bohong. (al-Munafiqun: 1)
Sesiapa yang ada padanya keyakinan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan menyatakan keyakinan itu juga diterima akan syahadahnya yang bermaksud:
Sedang kami duduk bersama-sama Nabi SAW di dalam masjid, tiba-tiba masuk seorang yang menunggang unta dengan memasukkan untanya ke dalam masjid dan kemudian menambat akan talinya. Kemudian dia bertanya, ‘Mana dia Muhammad?’
Lalu kami menjawab, ‘Itu dia yang putih sedang bersandar’.
Lalu dia bertanya, ‘Awakkah anak Abdul Muttalib (keturunan Abdul Muttalib)?’
Lalu Nabi SAW bersabda, ‘Yalah’.
Lalu dia berkata, ‘Aku ingin bertanyakan kamu dan janganlah terasa marah terhadapku sekiranya terkasar di dalam pertanyaan.’
Lalu Rasulullah SAW bersabda, ‘Tanyalah apa yang terasa padamu untuk ditanya.’
Lalu dia berkata, ‘Aku bertanya padamu demi Tuhanmu dan Tuhan orang yang terdahulu daripadamu, adakah Allah mengutuskanmu menjadi Rasul kepada semua manusia?’
Rasulullah SAW bersabda, ‘Ya’.
Dia bertanya lagi, “Aku bertanyamu demi Allah, adakah Allah menyuruhmu sembahyang lima waktu sehari semalam?’
Sabda Rasulullah SAW, ‘Ya’.
Dia bertanya lagi, ‘Aku bertanya demi Allah, adakah Allah menyuruhmu berpuasa sebulan dalam setahun?’
Sabda Rasulullah SAW, ‘Ya’.
Seterusnya dia bertanya, ‘Aku bertanya demi Allah, adakah Allah memerintahmu mengambil sedekah (zakat) daripada orang-orang kaya supaya engkau bahagikan kepada orang-orng faqir?’
Rasulullah SAW menjawab, ‘Ya’.
Kemudian orang itu berkata, ‘Saya beriman dengan apa yang kamu bawa dan saya adalah utusan kaum saya, nama saya ialah Dhimam bin Tha’labah dari Qabilah Sa’ad bin Bakar. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Mengucap dua kalimah syahadah adalah menjadi syarat untuk dilakukan hukum didunia berhubung dengan seseorang muslim seperti perkahwinan, berimamkan sembahyang, disembahyangkan apabila mati dan juga ditanam diperkuburan Islam selama seseorang itu tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan iman.
Adapun orang yang tidak beriqrar dengan dua kalimah syahadah kerana keuzuran seperti bisu ataupun mati setelah beriman tetapi belum sempat mengucap dua kalilmah syahadah maka dia adalah mukmin. Adapun orang yang mampu dan mempunyai masa untuk beriqrar dengan dua kalimah syahadah tetapi enggan mengucapkannya, kalau sekiranya keengganan ini kerana ingkarnya maka dia kafir, kerana soal hatinya bukan menjadi urusan kita, tetapi kalau hatinya membenarkan Islam dan hukum-hukum-Nya, maka menurut Qaul Rajeh, dia beriman di sisi Allah dan tidak boleh dilakukan mu’amalah ke atasnya sebagai seorang muslim kerana tidak diketahui imannya.
Sesungguhnya apa yang tersebut di atas ialah kepada orang-orang yang mahu menganut Islam, adapun mereka yang dilahirkan daripada orang-orang mukmin maka dianggap mukmin selagi dia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan iman.
No comments:
Post a Comment