Friday, July 30, 2010

BM : BENTUK & GOLONGAN KATA

BENTUK KATA DAN GOLONGAN KATA.

1. DEFINISI UMUM
Bentuk kata ialah rupa unit tatabahasa samada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Manakala, Penggolongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Dalam bahasa Melayu, kedua-dua ini dikaji melalui bidang morfologi.

2. BENTUK KATA
Terdapat empat proses pembentukan kata dalam bahasa melayu sebagaimana berikut:
A) bentuk kata tunggal
B) bentuk kata terbitan
C) bentuk kata majmuk
D) bentuk kata ganda

2.1 Bentuk Kata Tunggal
Bentuk kata ini tidak menerima sebarang imbuhan serta tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian. Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis kata tunggal iaitu:
-kata tunggal satu suku kata (KV,VK,KVK,KKVK,KVKK,KKV,KKKVK)
-kata tunggal dua suku kata atau lebih (V+KV,,KV+V+KV,KV+KV+VK+KV)
Dalam artikel yang saya kaji, terdapat beberapa contoh bentuk kata tunggal yang digunakan. Antaranya:
• Kata tunggal satu suku kata:
-dan
-ke
• Kata tunggal dua suku kata atau lebih
-jasa
-pendekar
-masyarakat
-budaya
-negatif


2.2 Bentuk Kata Terbitan
Kata terbitan terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses menambahkan atau menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar ialah bentuk morfem bebas. Imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu:
- Awalan (Hadir sebelum kata dasar)
- Akhiran (Hadir sesudah kata dasar)
- Apitan (Hadir secara mengapit kata dasar)
- Sisipan (Hadir di celahan kata dasar)
Artikel yang saya pilih banyak menngunakan kata-kata terbitan, sebagaimana berikut:
• Awalan
-berusaha
-seimbang
-sejumlah
-berleluasa
• Akhiran
-kerahan
-renungan
-bahkan
• Apitan
-bersesuaian
-kedatangan
-kematangan
-membudayakan
-menyemarakkan
-menggalakkan
-memperuntukkan

2.3 Bentuk Kata Majmuk
Proses pemajmukan ialah proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih. Bentuk kata majmuk membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Kata majmuk dapat dipisahkan kepada tiga kelompok, iaitu:
- Kata majmuk daripada rangkaian kata bebas
- Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus dalam bidang ilmiah
- Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan
Antara kata majmuk yang digunakan dalam hasil karya Shukri Bin Janudin ialah:
• Kata majmuk daripada rangkaian kata bebas
-para belia
-pejuang bangsa
-sentimen politik
• Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus dalam bidang ilmiah
-Silat Cekak
-agama Islam

2.4 Bentuk Kata Ganda
Proses yang menggandakan kata dasar akan menghasilkan bentuk kata ganda. Dalam bahasa Melayu, terdapat tiga jenis penggandaan, iaitu:
- Penggandaan penuh (menggandakan keseluruhan kata dasar)
- Penggandaan separa (menggandakan sebahagian kata dasar)
- Penggandaan berentak (menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu)
Contoh-contoh kata ganda yang terdapat dalam artikel yang saya pilih ialah:
• Penggandaan penuh
-rekod-rekod
-negara-negara
-pahlawan-pahlawan
• Penggandaan separa
-kedua-dua
• Penggandaan berentak
-memburuk-burukkan


3. GOLONGAN KATA
Golongan kata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat iaitu:
A) Kata nama
B) Kata kerja
C) Kata adjektif
D) Kata tugas

3.1 Golongan kata nama
Golongan kata ini merangkumi sejum;lah perkataan yang boleh menjadi unsure inti pada binaan frasa nama dan lazimnya menamakan orang, tempat atau benda. Golongan kata nama dipecahkan kepada beberapa sub-golongan, seperti:
-kata nama khas (manusia dan bukan manusia)
-kata nama am (abstrak dan konkrit)
-kata ganti nama (tunjuk dan diri)
Dalam artikel yang saya kaji, banyak terdapat golongan kata nama yang diguna. Antaranya:
• Kata nama khas
- Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah
-Datok Bahaman
-Haji Mat Hassan
-Haji Abdul Rahman Limbong
• Kata nama am
- kesenangan
-keamanan
-kemerdekaan
-penjajahan
-keberanian
• Kata ganti nama
-ini, itu (ganti nama tunjuk)
-mereka (ganti nama orang ketiga)

3.2 Golongan kata kerja
Golongan kata kerja merangkumi sejumlah kata dasar yang dapat menjadi denti inti pada binaan frasa kerja dan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu:
-kata kerja tak transitif (tidak memerlukan penyambut)
-kata kerja transitif (menerima objek sesudahnya)
Antara kata kerja yang terdapat dalam artikel yang saya pilih ialah:
• Kata kerja tak transitif:
-menyemai semangat patriotisme
-menyedarkan rakyat
-meningkatkan ilmu pengetahuan
-terkenal dengan
-mengaplikasikan teori
-menentang penjajah
-menaikkan idealisme
-menyatupadukan bangsa
-mengekalkan perpaduan

3.3 Golongan kata adjektif
Kata adjektif ialah sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Golongan kata ini dibahagikan kepada lapan kumpulan berdasarkan maknanya, iaitu:
-kata adjektif sifat/keadaan
-kata adjektif warna
-kata adjektif ukuran
-kata adjektif bentuk
-kata adjektif pancaindera
-kata adjektif waktu
-kata adjektif cara
-kata adjektif perasaan
Banyak kata adjektif telah digunakan dalam artikel hasil karya Shukri Bin Janudin. Antaranya:
• Kata adjektif sifat/keadaan
-setia
-cintakan
- lemah
• Kata adjektif ukuran
- besar
• Kata adjektif waktu
- silam

3.4 Golongan kata tugas
Merupakan golongan kata yang bersifat pelbagai jenis atau heterogen. Kehadirannya penting dalam ayat kerana tugas-tugas sintaksis yang dipikulnya. Tiap-tiap jenis kata tugas mempunyai peranan tertentu, yang jikalau tidak hadir dalam ayat, sama ada akan merosakkan ayat itu atau mengurangkan maksud-maksud tertentu. Golongan kata ini dapat dibahagikan kepada empat, iaitu:
- kata hubung (Sebagai perkataan yang menghubungkan ayat dengan ayat)
- kata praklausa (Sebagai perkataan yang hadir di hadapan ayat atau klausa)
- kata prafrasa (Sebagai perkataan yang hadir di hadapan frasa)
- kata pascakata (Sebagai bentuk perkataan yang hadir selepas perkataan- perkataan tertentu)
Kata tugas banyak digunakan dalam artikel ini antaranya ialah:
• Kata hubung
- dan (gabungan)
- manakala, namun begitu, maka (pancangan keterangan)
- yang (pancangan dentity)
- untuk (pancangan komplemen)
• Kata praklausa
- apakah (kata tanya)
- maka (kata pangkal ayat)
- akan (kata bantu)
• Kata prafrasa
- adalah (kata pemeri)
- akan (kata Bantu)
- amat , memang (kata penguat)
- di, dalam (kata sendi nama)
- tidak (kata naïf)
• Kata pascakata
- kesimpulannya (kata penekan)

BM : BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI

Bahasa ilmu merupakan bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi (Kamus Dewan, 1994: 88). Konsep Bahasa Melayu sebagai “bahasa ilmu” telah mula diperkenalkan dalam tahun 1990-an seiring dengan penekanan “budaya ilmu” kepada seluruh masyarakat . Konsep ini membawa maksud Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu pengetahuan atau wadah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti sains, teknologi, kedoktoran, ekonomi,undang-undang dan sebagainya. Bahasa Melayu kini bukan hanya terhad kepada soal kebahasaan dan sastera sahaja, malah turut merangkumi bidang-bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh bahasa Inggeris.

Di peringkat pengajian tinggi, Bahasa Melayu telah beperanan sebagai bahasa pengantar ilmu peringkat demi peringkat. Di universiti, pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyampai ilmu bermula dengan tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970. Pada tahun 1983, semua kursus tahun pertama di universiti-universiti tempatan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyalur ilmu. Walau bagaimanapun pelaksanaan secara menyeluruh bagi semua mata pelajaran di universiti bermula pada tahun 1984.

Sebagai bahasa ilmu, Bahasa Melayu mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang kompleks dan abstrak. Bahasa melayu juga memiliki tatabahasa yang sempurna agar setanding dengan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain di dunia dalam menjadi bahasa yang memperkatakan konsep dan ilmu moden disamping nilai keintelektualan bahasa yang tinggi.

PERBENDAHARAAN KATA

Perbendaharaan kata atau kosa kata Bahasa Melayu kini jauh lebih banyak, meluas dan lebih khusus sifatnya. Hal ini rentetan usaha-usaha serta langkah-langkah mapan yang telah diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditubuhkan pada tahun 1956 dalam mencipta istilah-istilah yang diperlukan dalam bidang akademik.

Beberapa jawatankuasa istilah telah ditubuhkan seperti Jawatankuasa Istilah Pendidikan Undang-undang, Botani dan Sains bagi menjayakan proses memperkayaan kosa kata ini. Jawatankuasa ini telah dianggotai pensyarah-pensyarah universiti serta pakar-pakar dari pelbagai bidang (Jurnal Dewan Bahasa Ogos 1996 : 717).

Antara contoh, dalam bidang Botani diwujudkan istilah pembiakan seks, aseks dan mikro (Mustafa Kamal Mohd. Shariff, 1990). Dalam bidang Sains pula, dicipta istilah-istilah seperti autoradiografi, radioisotop, neutron dan juga proton (Abdul Ghafar Ramli, 1991 : 240). Defendan serta plaintif pula merupakan beberapa contoh istilah yang digunakan dalam bidang Undang-undang (Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned, 1985 : 275).

TATABAHASA YANG SEMPURNA

Menurut Harvanek dan Garvin (1984), bahasa yang berfungsi sebagai bahasa ilmu perlulah sempurna, iaitu sempurna dari segi tatabahasa dan sempurna dari segi keintelektualan bahasa. Hal ini bertepatan dengan bahasa melayu kerana bahasa melayu sememangnya sudah pun mempunyai buku-buku taatabahasa yang sempurna dan sesuai dijadikan panduan dan rujukan seperti buku Pelita Bahasa oleh Za’ba.

Kesempurnaan ini dicapai melalui “kestabilan”, “kelenturan”, “keberkesanan”, “kepelbagaian”, dan “keindahan”, iaitu ciri-ciri penting yang harus dimiliki oleh bahasa yang berfungsi sebagai bahasa ilmu. Sifat kestabilan di sini merujuk kepada kepatuhan terhadap peraturan-peraturan sedia ada dalam aspek sistem ejaan, pengimbuhan, sebutan baku dan ayat. Kesesuaian terhadap pembaharuan-pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat bahasa, perubahan masa dan selera penuturnya tanpa mengorbankan sifat-sifat aslinya pula menerangkan aspek kelenturan. Ciri keberkesanan merupakan keupayaan dalam memberikan maksud dengan tepat dan berkesan.

Kepelbagaian pula merujuk kepada gaya, atau stail dalam menyampaikan sesuatu maksud atau idea demi mewujudkan kesan yang berlainan. Manakala, bahasa yang sedap didengar, bertenaga dan menarik serta dapat menyentuh perasaan dikaitkan kepada ciri keindahan bahasa itu sendiri.

KEINTELEKTUALAN BAHASA

Keintelektualan bahasa bermaksud bahasa yang berperanan sebagai bahasa ilmu haruslah mempunyai keupayaan untuk menyampaikan buah fikiran dan hujah yang tepat serta berkesan iaitu mampu merungkaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran. Kemuncak taraf keintelektualan bahasa dicapai terutamanya melalui perbendaharaan kata (Rujuk 3.1) dan sebahagiannya melalui sistem bahasa (Harvanek, 1984). Keintelektualan perbendaharaan kata ini dicapai melalui dua cara iaitu :

Pengembangan kata (Language Development), iaitu dengan menambahkan istilah-istilah baru yang bersifat khusus dan mungkin sukar difahami oleh penutur-penutur biasa.

Penukaran bentuk dan 8888 perbendaharaan kata, iaitu memberi maksud-maksud khusus atau kepada sesetengah perkataan bagi satu-satu 8888 tertentu yang berbeza dari penggunaan biasa. Perkataan baru itu hendaklah bersifat tepat, spesifik dan abstrak. Dengan erti lain, bahasa yang bersifat intelektual, yang akademik adalah bahasa yang mempunyai laras yang tepat, spesifik dan abstrak (Havranek, 1984)

BM : SEJARAH BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

SEJARAH BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Bahasa Melayu berperanan sebagai wahana penyebaran ilmu sejak di zaman silam lagi. Hal ini dibuktikan melalui sejarah tatkala Pasai, Melaka, Acheh, Patani, Palembang, Banjar, Bentan dan Riau menjadi pusat-pusat kegiatan intelektual persuratan dan falsafah pada masa itu. Ilmu Perundangan Islam, Ilmu Ketuhanan, Ilmu Bintang, Cakerawala, Kemasyarakatan, Bahasa dan Kesusasteraan adalah bidang-bidang ilmu yang disebarkan pada ketika itu.

Di Malaysia, peranan ini bermula setelah kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Tahun penuh keramat itu memberikan kita kebebasan untuk memperkenalkan identiti kita sendiri sebagai bangsa dan negara yang berdaulat serta bermaruah. Kita mula menggunakan bahasa melayu secara meluas sebagai bahasa sebaran am, bahasa perhubungan, bahasa perpaduan, bahasa penghantaran ilmu dalam pendidikan di sekolah-sekolah dan juga di universiti-universiti.

Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960), dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1981) berjaya menobatkan peranan ini bagi menggantikan penggunaan bahasa inggeris bahana negara kita dijajah oleh kerajaan Inggeris pada sebelum itu.

PAI : SYAHADAH

HUBUNGAN SYAHADAH DENGAN ISLAM

Ia seperti hubungan antara roh dan jasad. Syahadah yang diucapkan tidak akan memberi apa-apa erti kepada tuannya kecuali ia tahu apa yang diucapkan.

Ucapan itu, hendaklah dilafazkan dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh, tidak main-main. Mana-mana ucapan yang tidak bersungguh-sungguh dan tidak tahu maksud yang diucapkan itu dan ditambah pula dengan rasa yang tidak yakin, syahadah seperti itu tidak bererti bahkan orang seperti itu dikatakan pembohong dan pengkhianat.

Ia samalah seperti seorang saksi di mahkamah. Seorang saksi berhak menerangkan sesuatu jika ia betul-betul lihat dan tahu, kemudian penyaksian itu hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh, barulah ia dikatakan benar. Begitulah sebaliknya.

KESEMPURNAAN SYAHADAH

Syahadah hanya akan sempurna apabila memenuhi syarat-syarat seperti berikut :

1. MENGAKU DENGAN LIDAH : Dengan erti sesorang itu mengaku dan mengucap dengan lidahnya bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruhNya.

2. KEPERCAYAAN DI DALAM HATI : Iaitu hatinya percaya dengan bersungguh-sungguh bahawa apa yang diucapkan oleh lidah adalah betul dan benar.

3. MELAKUKAN TUNTUTANNYA DENGAN ANGGOTA : Setelah kedua-dua hati dan lidah sebulat kata, maka anggota dengan rela melakukan kehendak tuntutan dari ucapan syahadah itu.


SYAHADAH DAN TUNTUTANNYA

Apabila seseorang telah bersyahadah dengan kalimah syahadah, ia dianggap Islam, tetapi Islamnya tidak akan sempurna kecuali setelah menuaikan tunutan tauhid atau syahadah itu sendiri. Tuntutannya meliputi seluruh tuntutan Allah SWT dan Rasul SAW di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Secara ringkas tuntutan tersebut seperti berikut :

  1. BERIMAN DENGAN PERKARA GHAIB

Perkara ghaib yang dimaksudkan itu beriman dengan rukun iman yang enam ; BERIMAN DENGAN ALLAH SWT, MALAIKAT, KITAB-KITAB, RASUL-RASUL, HARI AKHIRAT DAN QADHA’ QADAR.

  1. MENUNAIKAN RUKUN ISLAM

Tauhid juga menuntut orang yang melafazkannya supaya menunaikan segala ibadat yang diwajibkan dengan sempurna dan betul mengikut apa yang diajar oleh Rasulullah SAW, tidak memadai dilakukan ketika senang atau seketika sahaja.

Sesiapa yang tidak menunaikan ibadat solat, puasa, zakat dan haji sedangkan ia cukup syarat wajibnya, ia tidak boleh dianggap Muslim kerana Islam tidak memadai dengan hanya mengucap sahaja, tetapi mesti disertakan dengan amalan anggota sebagaimana yang tersebut di atas.

  1. AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

Syahadah yang diucapkan memaksa tuannya melakukan amar ma’ruf nahi mungkar yang merupakan sebesar-besar kewajipan agama setelah seseorang itu beriman kepada Allah SWT.

FirmanNya :

كنتم خير امة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله .......

Maksudnya : “ Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, menyuruh mengerjakan yang benar (baik) dan melarang ynag jahat, serta beriman kepada Allah”.

(Ali Imran : 110)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Sesiapa yang melihat kemungkaran dilakukan, maka hendaklah diubah dengan tangan, jika tidak berkuasa hendaklah diubah dengan lidah, jika tidak berkuasa juga hendaklah dilawan dengan hati dan itu adalah selemah-lemah iman”.

Difahamkan dari hadis ini, sesiapa yang tidak melawan satu-satu kemungkaran sedangkan dia berkuasa, dia bukanlah orang Mukmin. Lebih-lebih lagi kalau sesorang itu memberi sokongan dan redha dengan kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya. Kerana orang yang melawan dengan hati adalah orang yang palinga lemah imannya. Jika redha, tidak melawan langsung atau memberi sokongan bererti imannya tidak ada. Orang seperti ini telah diistilahkan oleh Rasululah SAW sebagai syaitan bisu.

  1. MENGHUKUM DENGAN HUKUM ALLAH DAN MENDIRIKAN KERAJAAN ISLAM

Allah SWT telah memerintahkan kaum Muslimin supaya melaksanakan hukum Islam dan undang-undangnya. Di dalam Al-Quran banyak hukum yang telah diterangkan oleh Allah untuk dilaksanakan di dalam kehidupan seharian.

Allah SWT telah memberikan amaranNya kepada mereka yang tidak mahu menghukum apa yang telah diturunkanNya dengan firmanNya :

ومن لم يحكم بما أنزل الله فأولئك هم الكفرون .......الظابمون .......الفاسقون

Maksudnya : “ Barangsiapa yang tidak maenghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir…….zalim…….fasik”.

Mereka yang tidak menghukum enggan apa yang diturunkan oleh Allah bererti mereka menolak Tauhid Uluhiyyah kepada Allah SWT dan juga mereka telah menolak ikrar dan pengakuan mereka terhadap syahadahnya melalui amalan mereka (amalan tidak menghukum dengan hukum Allah). Tuntutan melaksanakan hukum Allah ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerajaan Islam. Sebab itulah mengikut pandangan Said Hawa dalam Kitabnya “Tentera Allah” bahawa mendirikan kerajaan Islam sekarang adalah fardu ain bukan lagi fardu kifayah.

  1. MENGADAKAN MASYARAKAT ISLAM

Masyarakat Islam adalah masyarakat yang melaksanakan Islam dalam segenap lapangan, baik dalam lapangan aqidah, syariat (undang-undang), peraturan dan akhlak.

Masyarakat Islam tidak lahir kecuali lahirnya sekumpulan manusia yang menyembah Allah SWT dengan sempurna dan tidak menyembah yang lainnya serta tidak mematuhi undang-undang selain dari undang-undang Allah. Kemudian cara hidupnya berlandaskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis dan tidak mengikuti peraturan-peraturan ciptaan manusia.