Tuesday, August 3, 2010

PSV P.1: CATAN MONA LISA

Potret Mona Lisa, yang juga dikenali sebagai La Gioconda, isteri kepada Francesco del Giocondo; 1503-06 (150 Kb) ini bertemakan seorang perempuan yang berpakaian fesyen Florentine di samping landskap berbukit dan menandakan teknik kelembutan sfumato oleh Leonardo, yang menekankan pemberatan kepada lorekan ke atas model. Ekspresi Mona Lisa yang penuh enigmatik menunjukkan kedinginan serta memberikan potret ini satu kemahsyuran yang universal.
Mengikut Vasari, subjek catan ini adalah seorang poerempuan muda Florentine, Monna (or Mona) Lisa, yang pada tahun 1495 telah berkahwin dengan orang yang terkenal pada ketika itu, Francesco del Giocondo, dan kemudiannya dikenali “La Giocondo”. Catan ini dihasilkan Leonardo pada zaman ke 2 Florentine, iaitu ketika tahun 1503 dan 1506. Leonardo sendiri menyayangi potret ini sehinggakan beliau sentiasa membawanya bersama, sehinggalah ia di jual kepada Francois I,samada oleh Leonardo atau Melzi.
Dalam penulisan “On the perfect beauty of a woman'', oleh Firenzuola pada abad ke 16, kita tahu bahawa senyuman yang bibir yang sedikit terbuka di bahagian tepi ketika senyum dianggap sebagai satu tanda elegan. Justeru senyuman Mona Lisa melambangkan kelembutan yang bersesuaian dengan keadaan sekeliling dan keseluruhan catan tersebut. Untuk mencapai kesan ini, Leonardo menggunakan teknik sfumato, yang merupakan larutan bentuk itu sendiri dan interaksi secara langsung antara cahaya serta bayang dan juga sedikit kombinasi perasaan yang wujud pada hari itu.

PANDANGAN TOKOH TERHADAP CATAN

Menurut PLATO, Seni merupakan kegiatan peniruan alam contohnya catan, lukisan, arca, muzik, puisi dan drama. Teori seni menurut Plato menggunakan perkataan mimesis iaitu peniruan atau imitasi. Menurut Plato, pelukis juga merupakan seorang yang meniru atau mengimitasi benda yang dihasilkan oleh orang lain.Dalam catan Mona Lisa, Leonardo meingimitasikan wajah Mona Lisa sebagai subjek utama dalam catannya. Menurut plato juga, seni berkaitan dengan kebenaran, kebaikan, kesempurnaan dan keindahan.Selain itu, seni juga dapat mencipta persekitaran, budaya dan tingkatkan perpaduan. Karya seni turut tidak boleh dianggap sebagai satu sumber pengetahuan tetapi berdasarkan emosi terhasil dengan meniru objek dunia fizikal.
Dalam buku yang berjudul Approaches to Art in Education, LAURA H. CHAPMAN menjelaskan bahawa proses artistic merupakan fasa-fasa yang tidak semestinya bersifat tekal dan sekuens. Tahap perkembangan kreativiti dan artistik dibahagikan kepada tiga fasa utama iaitu pengwujudan idea, perkembangan dan penghalusan idea dan kemahiran media. Ini bertepatan dengan penghasilan catan Mona Lisa kerana catan ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan iaitu lebih kurang 3 tahun dek berlakunya fasa-fasa yang dinyatakan tadi.

UNSUR SENI REKA DALAM CATAN

Catan Mona Lisa menunjukkan seni rupa itu amat mementingkan keseimbangan, misalnya rupa figura manusia diimbangi dengan latar belakang berasaskan alam semulajadi seperti bukit dan sungai yang mengalir. Selain itu keseimbangan ton warna juga dititikberatkan agar catan itu kelihatan harmonis. Ini penting dalam catan Mona Lisa kerana berjaya menunjukkan kesan-kesan kedinginan sekaligus mewujudkan perasaan dramatik dan klassik secara tidak langsung.

Penegasan dalam aspek warna turut terserlah dalam catan ini. Wajah dan pakaian Mona Lisa di warnakan dengan warna yang lebih terang dan gelap berbanding latar belakangnya agar ia diberikan perhatian. Warna hitam banyak digunakan supaya timbul perasaan simpati, dramatik, sedih, kedinginan dan kesayuan setelah melihat catan tersebut.

Akhir sekali, aspek garisan yang merupakan aspek yang turut penting dalam catan ini juga menunjukkan peranan yang dimainkannya. Leonardo memperinci dan mengemaskan garisan pada wajah Mona Lisa terutamanya di bahagian bibir supaya menimbulkan kesan-kesan yang tertentu. Senyuman Mona Lisa sehingga kini dikatakan memiliki maksud yang tersendiri dan pelbagai spekulasi tentangnya telah wujud.


PSV P.1: “LEONARDO DA VINCI DAN CATAN MONA LISA”

Leonardo da Vinci adalah seorang pelukis Florentine, salah seorang tokoh yang hebat ketika zaman kegemilangan Renaissance. Beliau merupakan seorang pelukis, pengarca, arkitek, jurutera dan saintis. Kekayaan ilmu dan kajian yang telah dijalankan oleh beliau merupakan kunci kepada kejayaannya dalam bidang artistik dan saintifik. Inovasi yang beliau perkenalkan dalam bidang lukisan dan catan mempengaruhi Kesenian di Itali selama lebih satu abad setelah kematiannya, dan penyelidikan saintifik yang dilakukan terutama dalam bidang Anatomy, Optik serta Hidraulik telah meningkatkan pembangunan Sains Moden.

Beliau telah dilahirkan pada 15 April 1452 di Bandar Kecil Tuscan di Vinci, berdekatan dengan Florence. Leonardo adalah anak kepada orang kaya Florentine. Pada pertengahan tahun 1460, keluarganya berpindah ke Florence, di mana beliau mendapat pendidikan terbaik di sana, pusat keintelektualan dan artistik di Itali. Beliau cepat bergaul dan cepat belajar. Leonardo seorang yang kacak, persuasif dalam perbualan serta pemuzik yang baik.

Pada tahun 1466, beliau dilantik sebagai “budak studio” di Andrea del Verrocchio. Leonardo diperkenalkan dengan pelbagai aktiviti di sana daripada melukis sehinggakan mencipta arca-arca besar yang diperbuat dari batu kapur dan gangsa. Sejak itu, beliau merantau ke mana-mana sahaja dan belajar berdikari. 1505, Leonardo melukis banyak gambar-gambar dan menyempurnakan satu lukisan kartun bersaiz penuh. Lukisan tersebut musnah dalam abad ke 17.

Semasa zaman ke 2 Florentine, Leonardo melukis beberapa potret , namun yang berkekalan adalah potret famous Mona Lisa (1503-06, Louvre). Catan ini turut di kenali La Gioconda, bersempena nama suami perempuan tersebut. Leonardo kelihatannya memiliki kesan keistimewaan tersendiri terhadap catan ini kerana beliau sentiasa membawanya ke mana-mana sahaja yang beliau pergi.

BM EJAAN : CONTOH PENULISAN CERPEN

"Mengusung Kematian"

“KAU CAKAP senanglah. Kau tak duduk tempat aku ....!” sergah Hasbullah, apabila aku bertanyakan keadaannya. Aku pun tak sangka dia sanggup berkasar dan menyergah aku sebegitu, setelah lima tahun kami tak berjumpa.

“Aku sebenarnya .…”

“Sudahlah Yusman. Kau pun sama macam ummi aku. Macam walid aku. Macam adik-adik aku ....!” sergah Hasbullah lagi.
“Sebab mereka tak nak tengok kau terus macam tu ....!” Aku bersuara setelah terkedu seketika.

“Macam apa? Syaitan ....? Iblis ....?”

“Hasbull ....! Kenapa cakap macam tu ....?”
Hasbullah menggenyeh-genyehkan hidungnya berkali-kali. Macam penagih dalam ketagihan. “Kenapa kau nak hina aku? Kenapa? Jahat sangat ke aku ni ....?”

“Hasbull ....! Siapa kata kau jahat?” aku cuba memujuk dan mengatur langkah mendekatinya.

“Heh ..., kau diam boleh tak ....?” suara Hasbullah semakin tinggi. Jari telunjuk kanannya serentak menuding ke arahku. Sementara jari-jari kirinya menggenyeh-genyeh hidungnya lagi berkali-kali. Ternyata dia benar-benar marahkan aku. Dia seakan tidak menerima kehadiranku yang bertujuan untuk menegurnya supaya menjadikan dirinya kembali seperti sebelumnya.

Hasbullah kemudiannya bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai di belakang rumahnya.
Sejak seminggu pulang bercuti, aku baru berkesempatan berjumpa dengannya. Sebelum ini, berkali-kali aku pulang bercuti ke kampung, tak pernah pula ternampak kelibatnya. Sedangkan aku berhasrat sangat untuk bertemu dan bertanyakan khabarnya. Aku sesungguhnya tidak menduga dia terjebak dengan dadah sehingga sejauh itu. Dia memilih racun durjana yang menjadikan hidupnya derita. Aku kasihan kepadanya.

***
HASBULLAH, sahabat sekampungku. Perhubungan kami teramat baik sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Kerap bermain-main bersama-sama. Memikat burung bersama-sama. Meronda-ronda berbasikal sekeliling kampung pun bersama-sama. Dengan seorang lagi sahabat kami yang juga sepupuku, Naswir. Kami sering terhibur dengan gelagat nakal dan gila-gila Hasbullah.

Semasa di sekolah rendah, Hasbullah kurang cerdik. Tidak sebagaimana aku dan Naswir. Di dalam kelas, antara kami, sejak dari darjah satu hingga darjah enam, hanya aku dan Naswir berlumba-lumba belajar untuk mendapatkan tempat pertama dalam kelas pada setiap penggal. Kalau aku dapat nombor satu dalam kelas, tempat keduanya pasti milik Naswir. Begitulah juga sebaliknya.

Semasa di sekolah rendah lagi, aku dan Naswir sudah pandai menulis dan membaca jawi. Kelebihan itu akan memudahkan aku dan Naswir untuk belajar bersolat. Hingga aku dan Naswir selalu mendapat pujian daripada Ustaz Omarul.

Hasbullah kurang pandai menulis dan membaca jawi, walaupun dia anak kepada Ustaz Omarul yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah kami.

“Lepas sekolah rendah nanti, kamu nak sekolah di mana, Yusman?” Ustaz Omarul ingin tahu jawapanku.

“Saya nak ke sekolah menengah biasa saja, Ustaz,” jawabku teragak-agak.

“Kenapa nak masuk sekolah menengah biasa? Kenapa tak nak belajar di sekolah menengah aliran agama?” Ustaz Omarul sedikit kurang senang dengan jawapan yang kuberikan.

“Entahlah Ustaz ....”

“Ustaz suka kalau Yusman masuk sekolah agama. Kemudian jadi ustaz .…”

Aku sekadar tersengih.

Ustaz Omarul memang berhasrat melihat aku menyambung pelajaranku ke sekolah aliran agama. Impiannya mahu melihat aku menjadi seorang ustaz sepertinya. Itu yang pernah Ustaz Omarul luahkan kepada ayahku.

“Yusman tu cerdik budaknya. Belajar pandai, sembahyang pandai. Baca dan tulis jawi pun boleh. Jarang budak sebaya dia boleh baca dan tulis jawi. Saya yakin dia boleh jadi ustaz suatu hari nanti,” Ustaz Omarul memuji kebolehanku sewaktu sedang berbual-bual dengan ayahku. Dia kerap mengunjungi keluargaku.

“Saya tak kisah, Ustaz. Saya ikut saja mana yang Yusman suka,” balas ayahku.

***
MUNGKIN sedikit kehampaan terpacak di pundak Ustaz Omarul apabila dia mendapat tahu yang aku menyambung persekolahanku ke sekolah menengah biasa. Sama seperti anaknya, Hasbullah, tetapi Naswir yang berminat memasuki sekolah menengah aliran agama.

Naswir dan Hasbullah bagaimanapun tidak ke mana juga. Selepas tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri.

Naswir kiranya bernasib baik kerana berjaya menjadi kerani di pejabat daerah di tempat kami. Tiga tahun selepas itu, Naswir menjalankan perniagaan menyewa kereta secara sambilan. Hingga kini, selain perniagaan sewaan keretanya semakin berkembang maju, dia juga memiliki sebuah pasar raya mini di kampung kami. Dia memang seorang yang berwawasan walaupun tidak berpelajaran tinggi. Dia berminat dalam bidang perniagaan.

Aku pula dapat melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur dan terus bekerja di kota raya setelah tamat pengajianku selama tiga tahun. Kini sudah hampir tujuh tahun aku menjadi penghuni kota yang penuh dugaan dan cabaran ini.

Sementara Hasbullah pula tenggelam punca dalam kehidupannya. Kerana berkawan dengan tidak keruan, dia akhirnya terlibat dengan penagihan dadah. Astaghfirullah-al-azim ....! Aku agak terkejut juga mendengar perkhabaran malang mengenai sahabatku itu daripada adikku, Yusmar.

“Dia dah teruk sangat dah. Kalau tak dapat duit nak beli dadah, bukan rumah saja dibalingkannya dengan batu, ummi dan walid dia pun sanggup diugut dengan pisau,” cerita Yusmar melalui telefon setiap kali aku menghubunginya.

Aku sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepala. Antara percaya dengan tidak apa yang aku dengar itu. Dadah ternyata umpama racun yang mencucuk Hasbullah menjadi seorang yang sudah tidak waras di alam nyata.

“Betul, bang. Yusmar tak bohong. Begitulah keadaan Hasbullah sekarang,” jelas adikku itu bersungguh-sungguh apabila aku melahirkan keraguan dengan apa yang aku dengar dari mulutnya.

“Umi dan walid dia macam mana ...?”

“Nak kata macam mana. Sudah kerap benar dia keluar masuk pusat serenti. Tapi masih macam itu juga,” ujar Yusmar lagi.

Pernah tiga tahun lalu, sewaktu aku pulang ke kampung aku sempat berbual-bual dengan Ustaz Omarul mengenai Hasbullah. Ternyata Ustaz Omarul amat terkilan dengan apa yang terjadi kepada anaknya. Dia juga tidak dapat menyembunyikan perasaan malunya kepada jiran-jiran dan seluruh masyarakat kampung sejak penglibatan Hasbullah dengan penagihan dadah yang berterusan itu.

***
“BERSABARLAH, ustaz. Mungkin masih ada peluang untuk selamatkan dia …” ujarku yang cuba menyelami perasaan Ustaz Omarul.

“Ustaz dah puas menanggung malu, Man. Malu dengan perbuatan anak ustaz sendiri,” Ustaz Omarul meluahkan perasaan hatinya.

Aku mengeluh. Turut menumpang rasa dengan apa yang dialami Ustaz Omarul.

“Ustaz mengajar anak orang lain supaya menjadi baik … menjadi manusia berguna …” Ustaz Omarul cuba menahan sebak. “Tapi anak ustaz sendiri yang jadi manusia tak berguna. Sampah masyarakat. Macam mana Ustaz tak malu, Man. Sudah tak tahu di mana lagi Ustaz nak sorokkan muka Ustaz ni ...!” Ustaz Omarul terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya setelah sebaknya kembali reda.

Aku turut diburu rasa terharu setiap kali aku menatap wajah Ustaz Omarul. Sebenarnya aku pun tidak pernah menyangka yang Hasbullah boleh terlibat dengan dadah sejauh itu. Sewaktu di sekolah menengah dulu, aku pernah juga cuba-cuba merokok, tapi Hasbullah yang menegahku dengan mengugut akan memberitahu kepada ayahku jika aku teruskan hasratku itu. Disebabkan tegahannya itu aku mencampakkan rokok yang sebatang di tanganku itu ke tepi semak.

Aku dapat menyelami dan menduga hati walid dan umminya. Anak sulung yang diharap sebagai pengganti ketua keluarga setelah ketiadaan kedua-duanya, hidup tanpa keruan akibat terjebak dengan penagihan dadah. Betapa kecewa dan hampanya hati ummi dan walidnya itu.

“Semalam Ustaz Omarul kena serangan jantung,” beritahu Yusmar sewaktu aku menghubunginya di pejabat.

“Apa Ustaz Omarul kena serangan jantung? Kenapa? Parahkah dia?” aku tidak sabar ingin tahu.

“Puncanya kerana Hasbullah .…”

“Hasbullah lagi?” aku tiba-tiba melepaskan keluhan kesal.

“Dia mengamuk. Dia membaling rumahnya dengan batu bertubi-tubi,” ujar Yusmar.

“Sebab tak dapat duit nak beli dadahlah tu?” aku cuba mengagak.

“Huh .… apa lagi. Itulah selalunya. Kalau giannya dah sampai, dia bukannya peduli apa lagi. Minta duit dengan ummi dia untuk belikan dadah. Bila tak dapat, rumah yang jadi mangsanya. Tapi kali ni agak teruk dia mengamuk. Menjerit-jerit … memekik-mekik macam orang hilang akal ...! jelas Yusmar lagi.

***
USTAZ Omarul yang sudah lama menanggung malu dengan perbuatan anaknya itu, sudah tidak tersabar lagi agaknya. Penyeksaan yang ditanggungnya sekian lama telah diterjemahkan melalui jantungnya. Dan khabar yang menyedihkan aku terima, Ustaz Omarul telah pergi buat selama-lamanya setelah koma selama seminggu.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun.”

Dan betapa aku begitu berat untuk menerima kenyataan itu.

Betapa aku turut menumpang sedih dengan apa yang telah berlaku. Lebih mengharukan kerana aku tidak berpeluang menziarahi arwah Ustaz Omarul kerana kesibukan tugasanku. Namun dari jauh aku tidak lupa sedekahkan al-Fatihah buat arwah.

“Sudahlah, Yusman. Kau jangan ganggu aku lagi. Aku lebih senang dengan cara hidup aku macam ni ...!” lamunanku tersentak dengan sergahan Hasbullah yang tiba-tiba terhenti bermundar-mandir di bawah pokok rendang di tepi sungai itu. Sepasang matanya yang layu memandang ke arahku.

Aku dapat tahu yang Hasbullah ada di bawah pokok rendang itu daripada adiknya. Kebetulan aku singgah seketika di rumahnya untuk bertanyakan khabar keluarga arwah Ustaz Omarul.

“Senang apanya, Hasbull. Macam mana kaukata kau senang dengan cara hidup macam tu? Hidup tak serupa orang lain? Hidup dalam khayalan cuma?” balasku dengan suara yang agak tinggi. Memang aku berhasrat sangat untuk bersemuka dengannya setiap kali pulang bercuti ke kampung. Tetapi kesempatan itu tak pernah ada. Ada kalanya aku pulang bercuti, Hasbullah pula berada di pusat serenti.

Tetapi hari itu aku berpeluang berjumpa dengannya. Dia baru seminggu keluar dari pusat serenti. Namun, begitulah selalunya. Pusat serenti tidak pernah mengubah keadaan hidupnya yang tersesat jauh itu. Dia pulih hanya sementara. Kemudian kembali kepada asal. Malah, aku juga agak terkejut apabila dia seakan-akan tidak bergembira berjumpa denganku. Sah, memang akalnya tidak sempurna. Itulah yang dapat aku mengagak. Dia bagaikan tidak pernah mengenali diriku yang juga sahabat karibnya sejak dulu.

Walaupun petang itu aku tidak berpeluang berbicara panjang dengannya, namun aku berjanji akan berjumpa dan bersemuka dengannya lagi. Aku terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana tugas. Aku masih ingat pesan arwah Ustaz Omarul yang pernah meminta agar aku bersamanya dalam usaha membantu Hasbullah kembali ke pangkal jalan dan kembali menjadi manusia yang sempurna dengan menjauhi dadah dalam kehidupannya.

Aku merasa sedikit kecewa kerana hasrat Ustaz Omarul untuk melihat Hasbullah pulih seperti biasa tidak kesampaian. Dan aku berjanji akan menyambung hasratnya itu.

***
NAMUN sebulan setelah aku kembali ke Kuala Lumpur, aku mendapat khabar yang juga mengharukan. Kali ini khabar yang Yusmar sampaikan agak memeranjatkan juga.

“Bang, Hasbullah dah tak ada lagi. Baru sebentar tadi dia disahkan meninggal dunia.” Begitu pesanan ringkas yang aku terima daripada Yusmar. Ketika itu aku baru saja untuk memulakan mesyuarat mingguan dengan kakitangan di pejabatku.

Mesyuarat aku tangguhkan seketika. Aku terus menghubungi Yusmar untuk mendapatkan pengesahan. “Dia meninggal dunia kerana mengambil dadah berlebihan,” beritahu Yusmar.

“Innalillahiwainna-ilaihirajiun .…”

Kesedihan dan kehampaanku berbaur. Namun aku sedar aku tidak dapat mengatasi takdir Allah. Sesungguhnya takdir Allah itu mengatasi segala-galanya. Derita sengsara yang Hasbullah lalui dek kerana dadah akhirnya mengusung dirinya kepada kematian. Semoga roh Hasbullah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman. Amin ...

BM EJAAN : POLA KESELARASAN VOKAL & KAJIAN PUISI

Pola keselarasan vokal bertujuan menyelaraskan segala bentuk sebutan yang banyak menggunakan huruf vokal. Oleh hal yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menentukan bahawa terdapat 18 pola keselarasan vokal dalam Sistem Ejaan Resmi Bahasa Melayu.
Pola Keselarasan vokal yang betul adalah:
• a-a = abad, abah, balak
• a-i = adik, adil, katil
• a-u = datuk, alun, alur
• e (pepet)-a = emak, emas, ketam
• e (pepet)-i = betik, bedil, belit
• e (pepet)-u = telur, embun, tepung
• e (taling)-a = elak, selak, telah
• e (taling)-e (taling) = pendek, esei, kerepek
• e (taling)-o = elok, teko, telor
• i-a = idam, indah, impian
• i-i = inai, inci, inti
• i-u = tidur, timun
• o-a = organ, otak
• o-e(taling) = oleh, boleh
• o-o = otot, obor,
• u-a = udang, ulama
• u-i = usik, upih
• u-u = untuk, urus
Saya telah memilih sajak bertajuk Dadah Durjana karya Hazirah Hana Binti Ismail sebagai puisi untuk dikaji. Dalam puisi ini, kita dapat menemui pola keselarasan vokal seperti :
DADAH DURJANA
POLA KESELARASAN VOKAL
Dadah a-a
Tika dulu kau bagai penawar i-a, u-u, a-u, a-a
Mengukir sejarah di bidang perubatan a-a, i-a,
Penyelamat nyawa tika kesakitan a-a, i-a

Namun kini a-u, i-i
Martabatmu begitu hina i-u, i-a
Hadirmu bak najis semata a-i, a-a
Kau hanyalah pemusnah a-u
Generasi dunia a-i, u-

Dadah a-a
Kau umpama racun yang mengalir a-u, a-a, a-u
Dalam pembuluh darah a-a
Bagai jarum yang ditusuk hingga ke tulang a-i, a-u, i-a, u-a
Perit.. e-i
Pedih.. e-i

Dadah a-a
Kau durjana a-u, a-a
Hadirmu membawa derita i-a
Khayalan sementara cuma a-a, u-a
Imaginasi dusta di bumi nyata u-a, u-i, a-a
Membawa kesedihan
Mengundang derita sengsara i-a, a-a
Dan mengusung
Kematian..

Karya:
Hazirah Hana Binti Ismail, www.familiazam.com

BM KONTEKSTUAL : CONTOH TEKS PIDATO

“ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ”

Putera kepada tokoh terbilang,

Lahir di Lipis, membesar di Pekan,

1 Malaysia formula dicanang,

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Setelah saya memperdengarkan pantun tersebut saya pasti, sudah ramai yang mengetahui wajah tampan yang terselindung disebaliknya. Beliau adalah Perdana Menteri kita yang Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang, beliau kemudiannya tumbuh dan membesar di Pekan , Pahang. Pengalaman menyaksikan perjuangan serta aliran politik negara ketika pemerintahan ayahanda tercinta, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, menjadikan beliau berinspirasi untuk berbakti kepada masyarakat juga negara.

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pensyarah Bahasa Melayu Kontekstual, Encik Dzulkarnain Bin Mat, Yang berusaha Ketua Unit Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris (2) Semester 3, serta para hadirin yang saya hormati. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato yang cukup bermakna dan penuh perisian. Insya-Allah. Tajuk pidato yang ingin saya sampaikan pada pagi ini ialah “ 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan ”. Sebelum saya berbicara dengan lebih lanjut tentang tajuk ini, rasanya elok benarlah saya merungkai mutiara makna atau definisi tentang apa yang diertikan dengan konsep 1 Malaysia yang sebenarnya.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, konsep 1 Malaysia adalah merujuk kepada cara kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia atau One People. Tindakan-tindakan yang kita ambil perulah berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam Negara kita. Meskipun begitu, dasar afirmatif yakni dasar untuk menolong kaum Bumiputera tidaklah diketepikan namun sebaliknya dilaksanakan dengan cara adil dan saksama. Pertimbangan yang diberi kepada golongan Bumiputera yang layak wajar mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita akan keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Konsep 1 Malaysia menuntut pemimpin dan setiap warganegara untuk memainkan peranan masing-masing disamping melibatkan nilai tambah dan pembaharuan. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan yang bijak menafsir dan memahami tugasan yang diberi serta dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, bercakap benar, telus, ikhlas, amanah dan berkebolehan amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia turut menjadi pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.

Hadirin yang dimuliakan,

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Konsep 1 Malaysia berbeza dengan konsep Malaysian Malaysia kerana di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep ini juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. 1 Malaysia tidak hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia seperti yang dibawa oleh Malaysian Malaysia. Konsep Malaysian Malaysia adalah dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza.

Sebenarnya konsep 1 Malaysia tetap berkait dengan dasar-dasar kerajaan yang terdahulu. 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu dan bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan iaitu usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara. Usaha ini sudah lama dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kemudiannya, usaha ini disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Meskipun setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan juga negara.

Saudara dan saudari,

‘1 Malaysia’ akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. Konsep yang bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Untuk menjayakan konsep ini, semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging). Nilai-nilai murni yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’ juga perlu diamalkan. Nilai-nilai murni ini dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Nilai-nilai tersebut adalah budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan serta integriti.

Hadirin yang budiman sekalian,

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja pula memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Disamping itu, rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri iatitu dikenali sebagai Tawaduk’.

Konsep penerimaan dan toleransi pula adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran. Prinsip kesetiaan turut amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

Hadirin hadirat yang dirahmati,

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Pendidikan dan pengetahuan pula adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan. Juga adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

Peranan yang dijayakan rakyat akan mendapat manfaat dari komitmen kerajaan mlelalui tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian dari konsep 1 Malaysia. Hal ini bermaksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangan nya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Hadirin yang sy hormati,

Tampaknya masa begitu cemburu dan berlalu pantas meninggalkan kita. Tidak dapatlah saya berpidato dan mengulas dengan lebih panjang lebar lagi. Sebelum mengundurkan diri, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta haridin hadirat sekalian agar yakin dengan konsep yang dibawakan YAB Perdana Menteri. Sudah terang lagi bersuluh bahawa konsep “1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pncapaian diutamakan” adalah satu pakej lengkap yang mampu menjamin keharmonian dan pembangunan Malaysia yang mapan sekiranya kita semua, yakni rakyat Malaysia memberikan kerjasama juga komitmen padu.

Sekian, terima kasih.